Bilangan Permohonan Pinjaman Komputer Dan Kenderaan Yang Diluluskan Perbendaharaan Negeri Kelantan
Bilangan Permohonan Pinjaman Komputer dan Kenderaan Yang Diluluskan Perbendaharaan Negeri Kelantan
MYHRMIS MOBILE
splwpk-multilang
splwpk-advanced-search-function
 
 
 
 
 
splwpk-feedback-form

Displaying items by tag: Masuliyyah

Selasa, 29 September 2020 09:45

Program UMI

Nilai teras Kod Etika Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan terbahagi kepada tiga komponen nilai iaitu :

  • 'Ubudiyyah
    Nilai ini merujuk kepada kedudukan manusia sebagai hamba Allah yang diciptakan semata-mata untuk beribadat kepada-Nya. Ia memberi signifikan dari sudut sifat diri, tujuan hidup dan juga cara menjalani kehidupan yang lahir dari pancaran iman dan aqidah yang jelas.

  • Mas'uliyyah
    Nilai ini merujuk kepada kebertanggungjawaban (akauntabiliti) iaitu segala kerja (tanggungjawab) yang dilakukan di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah di hari pengadilan kelak. Niali ini merupakan satu konsep khilafah (vicegenerence) yang memikul amanah bagi memakmurkan bumi Allah melalui amalan yang berlandaskan syariat.

  • Itqan
    Nilai ini merujuk kepada kualiti kerja yang boleh diterjemahkan sebagai ketekunan, komitmen dan kesungguhan kerja. Nilai ini akan membentuk peribadi yang berakhlak dan bermodal serta modal insan yang cemerlang dalam melaksanakan tugas.

 

Nilai Tatakelakuan

Nilai tatakelakuan 'Ubudiyyah

  • Ikhlas dan Niat Suci
    Mempunyai niat melaksanakan tugas kepada Allah SWT untuk mencari rezeki yang halal dan mengharapkan keredhaan-Nya serta sentiasa berhati mulia dalam melaksanakan tugas tanpa mengharapkan balasan manusia dan menghakis sebarang unsur kepentingan diri sebagai asas pengisian amanah
  • Bekerja Sebagai Ibadat
    Sentiasa meyakini bahawa setiap tugas yang dilakukan adalah berupa ibadat dan berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT
  • Pengawasan Allah SWT
    Menyedari bahawa segala gerak kerja yang dilakukan adalah sentiasa berada di bawah pengawasan Allah SWT
  • Balasan dan Ganjaran
    Menginsafi bahawa segala tugas dan amalan yang baik akan dibalas dengan ganjaran manakala perbuatan yang buruk akan mendapat hukuman daripada Allah SWT
  • Mencapai Keredhaan Allah SWT
    Sentiasa meyakini bahawa setiap tugas yang dilakukan adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT
  • Bersyukur
    Sentiasa menghargai nikmat dan rahmat Tuhan, gembira dalam melaksanakan tugas, kecenderungan melihat keadaan dengan lebih positif, redha dengan kedudukan dan pangkat, berbelanja dengan berhemah dan menggunakan segala nikmat dan pemberian Tuhan ke arah perkara yang diredhai-Nya

 

Nilai tatakelakuan Mas'uliyyah

  • Amanah
    Sentiasa menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin, berusaha menghindar dengan rela hati kepentingan peribadi dari mengatasi kepentingan tugas dan memastikan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.
  • Benar
    Sentiasa jujur dalam melaksanakan tanggungjawab, bercakap benar dan menepati janji, cermat dan berhemat dalam membuat keputusan, berasaskan profesionalisme, patuh dan setia dalam melaksanakan tugas dan sentiasa bersedia menerima teguran dan nasihat.
  • Bertanggungjawab
    Sentiasa menerima hakikat akauntabiliti akhir adalah terhadap Tuhan di samping pekerjaan dan majikan, melakukan tugas dengan kesedaran terhadap implikasi baik dan buruk (berwaspada dan jujur), bersedia berkhidmat dan menghulurkan bantuan pada bila-bila masa diperlakukan, tidak mengkhianati kepentingan organisasi/institusi/awam dalam menjalankan tugas dan bersedia menjaga maruah agama, bangsa dan negara.
  • Berdisiplin
    Sentiasa berdisiplin, mematuhi peraturan, memberi keutamaan mengikut kepentingan, mengamalkan cara bekerja yang kemas dan terancang serta menyanjung tinggi masa dan janji.
  • Kepatuhan
    Sentiasa memberi kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada organisasi selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam, Sentiasa menjaga imej serta bekerja dengan penuh rasa bangga sebagai penjawat awam.
  • Berbudi Pekerti Mulia dan Berprasangka Baik
    Sentiasa mengamalkan tatakelakuan yang kaya dengan budi pekerti mulia. Teguh dengan amalan nilai-nilai murni dan tidak mementingkan diri sendiri serta sentiasa berpransangka baik dalam hubungan sesama individu semasa menjalankan tugas dan hidup bermasyarakat.

 

Nilai tatakelakuan Itqan

  • Mahir
    Sentiasa menunjukkan kemahiran, kecekapan serta kepandaian dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.
  • Tekun
    Sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan dalam tugas dan hidup, mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman untuk membaiki taraf hidup dan berusaha gigih bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam perkhidmatan
  • Komitmen
    Sentiasa menunjukkan sikap melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanak=hkan dengan penuh minat, perhatian, bertenaga, memberi sokongan serta keazaman/iltizam yang tinggi.
  • Cepat, Tepat dan Berkualiti
    Sentiasa bersedia menjalankan sesuatu tugas yang diberikan itu dengan serta merta dan dapat menghasilkan output yang bermutu tinggi serta menepati kehendak stakeholders dan pelanggan
  • Kreatif
    Sentiasa berusaha melalui pelbagai cara dan kaedah yang sesuai dalam bentuk yang mudah dan praktikal untuk menghasilkan kerja dan tugas yang lebih berkualiti.
  • Inovatif
    Sentiasa bersedia melahirkan pemikiran yang psitif dan terbuka serta bersedia menerima sebarang perubahan dan berusaha menguasainya melalui kaedah dan strategi yang berkesan untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang
  • Bekerjasama dan Bermuafakat
    Sentiasa mengamalkan sikap tolong menolong, permuafakatan, bersikap sukarela menyertai aktiviti-aktiviti organisasi dan bekerja sebagai satu pasukan yang mantap bagi melahirkan suasana harmoni dan keseronokan bekerja. Sentiasa mengamalkan slogan "muafakat membawa berkat"
  • Berbudi Bahasa dan Berperibadi Mulia
    Sentiasa mengamalkan tuturkata, kelakuan, sopan santun, tatatertib, akal, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata akhlak mulia dan merangkumi konsep nilai budi bahasa dan sentiasa memberi layanan dan perkhidmatan yang mesra, sopan dan ramah kepada pelanggan serta mengamalkan pergaulan yang akrab dan mesra sesama warga kerja dan masyarakat.
  • Bijaksana
    Sentiasa berusaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara bijaksana berpandukan ilmu, kemahisan dan tahap profesionalisme yang tinggi dengan pertimbangan yang teliti berasaskan fakta tertentu dengan mengambil kira kepentingan organisasi, perkhidmatan dan negara.
  • Telus
    Mewujudkan prosedur kerja dan melaksanakan tindakan yang telus, lengkap serta menyelesaikan kerja mengikut masa yang ditetapkan. Berusaha memaklumkan maklumat, tindakan dan keputusan yang telah diambil kepada pihak yang berhak selagi ianya tidak bercanggah dengan undang=undang, peraturan-peraturan dan arahan pentadbiran
  • Adil
    Sentiasa berusaha membuat pertimbangan yang saksama semasa membuat keputusan dalam setiap tindakan berasaskan undang-undang, peraturan-peratuan, arahan pentadbiran, keutamaan dan fakta yang lengkap dan tepat.

Muat Turun Manual Program UMI Perbendaharaan Negeri Kelantan

Published in UMI
Tagged under
Hakcipta © 2010 - 2024 Perbendaharaan Negeri Kelantan. Kemaskini Terakhir :
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Blok 4, Kompleks Kota Darulnaim, 15503 Kota Bharu. Tel : 09 7481957 Faks : 09 7487113 Email : treasury[at]kelantan[dot]gov[dot]my
Penafian : Perbendaharaan Negeri Kelantan tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan di atas penggunaan apa jua maklumat dalam laman web ini.