Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 YB Dato' Pegawai Kewangan Negeri Kelantan
KOTA BHARU, 12 Mac 2025. Perbendaharaan Negeri Kelantan telah mengadakan Majlis Amanat YB Dato' Pegawai Kewangan Negeri Bersama Warga Perbendaharaan yang berlangsung pada jam 2:30 petang di Bilik Mesyuarat Utama, Perbendaharaan Negeri Kelantan. Majlis ini dipimpin oleh Yang Berhormat Dato' Rosnazli bin Haji Amin, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan dan dihadiri oleh seluruh warga Perbendaharaan Negeri Kelantan termasuk pegawai serta kakitangan.
Dalam ucapan amanat beliau, YB Dato' Pegawai Kewangan Negeri menegaskan mengenai kepentingan integriti, kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan kewangan. Beliau turut menekankan bahawa sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab dalam pengurusan hasil dan perbelanjaan negeri, setiap pegawai perlu memastikan akauntabiliti dan keberkesanan dalam pelaksanaan tugas bagi menjamin kestabilan ekonomi negeri.
ANTARA INTIPATI UTAMA :
- Pengukuhan Tadbir Urus Kewangan - Setiap keputusan perlu mengambil kira prinsip kebertanggungjawaban dan kepatuhan kepada peraturan-peraturan kewangan yang telah ditetapkan. Ini termasuklah pengurusan bajet yang berhemat, kawalan perbelanjaan yang cekap serta pematuhan kepada garis panduan perbendaharaan yang sedang berkuatkuasa.
- Kecekapan dan Inovasi dalam Pengurusan Hasil Negeri - Semua warga Perbendaharaan perlu lebih proaktif dan inovatif dalam usaha meningkatkan hasil negeri serta produktiviti tanpa membebankan rakyat. Usaha memperkukuh sistem kutipan hasil yang lebih cekap dan mengurangkan ketirisan perlu menjadi keutamaan dalam memastikan kesinambungan kutipan hasil untuk memacu kelangsungan pembangunan negeri.
- Memantapkan Budaya Kerja Berintegriti - Semua kakitangan diingatkan agar sentiasa memegang teguh nilai amanah, ketelusan dan profesionalisme dalam menjalankan tugas. Budaya kerja yang telus dan berintegriti adalah kunci kepada keberkesanan perkhidmatan awam serta kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negeri.
Sebagai penutup, YB Dato' Pegawai Kewangan Negeri menyeru kepada semua pegawai dan kakitangan supaya bekerjasama dan berdedikasi dalam memastikan kelangsungan ekonomi Negeri Kelantan yang mampan dan lestari.
Penulis | admin |
Tarikh | 13 March 2025 |
Kategori | Berita |
Tag | |
Hits | 105 |
-
Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 YB Dato' Pegawai Kewangan Negeri Kelantan
-
Selamat Datang YB Dato' Rosnazli Bin Haji Amin Pegawai Kewangan Negeri Kelantan Yang Baharu
-
Setinggi-Tinggi Tahniah! YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Bin Tengku Feissal Kini Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan
-
Taklimat Awareness Prosedur Pemulihan Bencana iSPEKS
-
Makluman Aktiviti Simulasi Pemulihan Bencana iSPEKS Negeri Kelantan