Profil Jabatan

Pejabat Perbendaharaan Negeri merupakan salah sebuah Jabatan Kerajaan Negeri Kelantan. Perbendaharaan Negeri adalah Jabatan yang bertanggungjawab menetapkan dasar dan peraturan kewangan Kerajaan Negeri. Tanggungjawab ini juga termasuk mengawal selia semua Jabatan Negeri dengan memastikan segala terimaan dan bayaran dibuat mengikut peraturan kewangan. Selain itu, Perbendaharaan Negeri juga memantau dan membuat tindakan susulan terhadap Jabatan bagi memastikan rekod hasil, perbelanjaan, akaun amanah dan rekod kewangan lain diselenggarakan dengan lengkap dan teratur.
Pejabat ini mempunyai visi untuk menjadikan Negeri Kelantan sebagai sebuah negeri yang kedudukan kewangannya mantap, kukuh dan mampan. Misinya pula adalah untuk menyediakan bajet berimbang dan memastikan perbelanjaan mengurus sentiasa berada di tahap yang terkawal yang akan menjadikan Perbendaharaan Negeri Kelantan sebagai jabatan terbaik dari segi tadbir urus kewangan yang kemas, bersistemetik serta telus dengan menitik beratkan kepada Islam sebagai teras utama.
Dasar kualiti Perbendaharaan Negeri adalah untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan dan kawalan kewangan yang cekap dan berkesan kepada semua pelanggan yang meliputi Jabatan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan Negeri dan orang awam.
Pejabat Perbendaharaan Negeri diketuai oleh Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik sebagai Ex-Officio. Perlantikan Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri adalah mengikut Perkara 13 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Pejabat Perbendaharaan Negeri dibahagikan kepada tiga Bahagian utama iaitu :
Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP)
Aktiviti utama BKP ialah menjalankan urusan pentadbiran dan operasi harian jabatan.
Tiga unit telah diwujudkan di bawah aktiviti ini iaitu :
- Unit Pentadbiran Dan Pengurusan Sumber Manusia
- Unit Pengurusan Kewangan Dan Pemantauan Audit
- Unit Komputer
Bahagian Pengurusan Kewangan (BPK)
Aktiviti utama BPK ialah mengawal dan menyelia supaya peraturan kewangan dipatuhi oleh semua jabatan negeri serta bertanggungjawab menyedia bajet kerajaan negeri.
Empat unit utama telah diwujudkan iaitu :
- Seksyen Hasil
- Seksyen Belanjawan
- Seksyen Perolehan
- Seksyen Analisa Dan Pemantauan Pelaburan
Bahagian Pengurusan Perakaunan (BPP)
Aktiviti utama BPP pula ialah bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan pengiraan dan perakaunan bagi semua urusan kewangan kerajaan negeri. Bahagian ini juga bertanggungjawab menyimpan dan menyelenggara akaun hasil dan perbelanjaan serta menyediakan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri.
Di bawah aktiviti ini, tiga unit telah diwujudkan iaitu :
- Seksyen Perkhidmatan Operasi Perakaunan
- Seksyen Naziran Dan Khidmat Perunding
- Seksyen Pengurusan Dana Dan Terimaan
- Seksyen Perakaunan Dan Pengurusan
Perbendaharaan Negeri Kelantan mengamalkan tiga amalan teras iaitu "Ubudiah, Mas’uliah dan Itqan" sebagaimana yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri yang menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kemakmuran Negeri Kelantan.